KAJANG, 5 Ogos - Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk meminda undang-undang sedia ada atau menggubal akta baharu bagi menangani fenomena penjualan dan pengedaran dadah secara dalam talian yang semakin berleluasa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, trend penjualan dadah kini semakin kompleks dan sistematik, termasuk penggunaan media sosial serta platform dalam talian seperti WhatsApp dan Facebook yang sukar dikesan oleh pihak berkuasa.
“Sebelum ini kita tidak berdepan kaedah penjualan seperti ini. Kini, pembelian dadah dibuat melalui tempahan atas talian yang lebih sukar untuk dikesan, terutama apabila menggunakan medium sosial biasa dan khidmat penghantaran,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan i-Deen Kepulihan AADK 2025 di Ibu Pejabat AADK, Kajang, hari ini.
Menurut beliau, isu ini telah beberapa kali dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Penagihan Dadah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kita telah mengenal pasti keperluan mendesak untuk meneliti aspek ‘law and regulation’ termasuk memperkemas kawal selia antara agensi yang terlibat seperti KDN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan pihak penguat kuasa lain,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa meskipun dadah berada di bawah bidang kuasa KDN, aspek platform jualan dalam talian pula berada di bawah kawal selia kementerian dan agensi lain yang turut terlibat secara tidak langsung.
“Kami sedar trend ini amat membimbangkan kerana ia memudahkan bekalan diperoleh dan transaksi dilakukan tanpa jejak yang jelas. Justeru, kerajaan kini mengkaji sama ada untuk meminda akta sedia ada atau menggubal satu undang-undang baharu yang lebih khusus dan menyeluruh,” katanya lagi.
Langkah itu penting bagi memastikan tindakan lebih tegas dan berkesan dapat diambil terhadap sindiket serta individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah secara dalam talian.