
PUTRAJAYA, 28 Januari – Pimpinan tertinggi agensi-agensi penguatkuasaan diberi tempoh satu minggu untuk menyatakan kesediaan memikul amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka atau memberi jawatan itu kepada individu lain yang lebih berkeupayaan.
- Pimpinan tertinggi agensi penguatkuasaan diberi satu minggu untuk nilai kesediaan memikul amanah.
- Perlu menilai keupayaan sendiri tanpa mengira pangkat dalam menjaga kepentingan negara.
- Saranan maklumkan penolakan jawatan kepada ketua, Perdana Menteri atau menteri dalam tempoh seminggu.
- Penekanan pada pembaharuan dan tanggungjawab bersama demi menyelamatkan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pimpinan tertinggi tanpa mengira pangkat perlu menilai keupayaan masing-masing dalam melaksanakan amanah, khususnya dalam menjaga kepentingan negara.
Menurut beliau, ketegasan itu berikutan masih terdapat banyak kelemahan dan kelompongan yang perlu diperbaiki walaupun pelbagai kejayaan telah dicapai.
Datuk Seri Anwar berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguatkuasaan Berkaitan Jenayah Kewangan di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
“Jika sudah diamanahkan tetapi merasakan tidak lagi mampu melaksanakannya berikutan cabaran besar dan ujian yang berat, termasuk tarikan atau pelawaan lain yang lebih menarik, saya syorkan perkara itu dimaklumkan dalam tempoh seminggu ini kepada ketua-ketua, kepada saya sendiri atau kepada menteri,” katanya.
“Kita mahu menyelamatkan negara ini. Negara ini mempunyai potensi yang sangat baik dan rakyat mengharapkan pembaharuan serta pembelaan” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap tempoh seminggu yang diberikan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak untuk menilai secara mendalam.
“Saya harap dalam tempoh seminggu ini, kita renung betul-betul. Di peringkat tertinggi sekali pun, kita perlu renung bersama apa yang sanggup kita berikan untuk negara,” katanya.