JOHOR BAHRU, 27 September - Kejayaan Projek Pengalaman Idea (PIE) 2025 di Johor, membuktikan keberkesanan kerjasama antara universiti dan jabatan pendidikan, mencungkil bakat pelajar, menghasilkan inovasi berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan merangkap Ahli Parlimen Pontian, berkata projek tersebut mendorong 100 pelajar dari lima daerah di Johor, menghasilkan inovasi baharu daripada idea asal mereka.
"Saya berharap agar ia akan diadakan setiap tahun, saya berharap sepuluh-sepuluh daerah pada tahun yang akan datang akan terlibat dan kita berharap ia akan menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan.
"Tadi 'Smart Traffic Light itu ada sedikit pembaikan, daripada Smart Traffic Light yang ada sekarang, sebagai contoh", katanya dalam Majlis Perasmian Penutupan Projek Ideation Experience 2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.
Anjuran PIE 2025 selari dengan aspirasi Malaysia, melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir, dalam bidang kejuruteraan, dan teknologi, menjelang Revolusi Industri 4.0.
PIE 2025 menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai merangkul emas dalam kategori Sifar Kebuluran, manakala SMK Tasek Utara Dua, emas Kategori Bandar dan Komuniti Mampan.