fb fb fb fb fb

Piala Malaysia: Polis KL nasihat penyokong jangan timbulkan kekacauan

Allaudeen Abdul Majid

KUALA LUMPAR, 8 Disember- Polis Kuala Lumpur meminta kerjasama orang ramai khususnya penyokong bola sepak agar tidak menimbulkan sebarang kekacauan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) FC dan Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Ketua Polisnya, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, seramai 80,000 penonton dianggarkan bakal hadir pada final yang dijadual berlangsung pukul 9.00 malam.

Sehubungan itu, beliau berharap tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

"Saya berharap semasa final bola malam ini, semua berlangsung tanpa sebarang insiden.

"Polis akan sentiasa melakukan kawalan dan mengambil tindakan tegas jika ada mana-mana pihak cuba menimbulkan apa-apa insiden terutama selepas perlawanan," katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Perasmian Balai Polis Setiawangsa di sini.

Tambah Allaudeen, seramai 1,400 anggota polis ditugaskan bagi memastikan kelancaran perlawanan tersebut.

Selain perlawanan itu, turut berlangsung Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang bermula hari ini hingga Ahad di pekarangan stadium berkenaan, serta Kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional berhampiran.

“Bagi memantau suasana agar sentiasa selamat dan menjamin ketenteraman, seramai lebih 100 anggota turut ditempatkan untuk tugas kawalan bagi tujuan tersebut,” katanya lagi.

SITI AISHAH BINTI MD ISA