KUALA LUMPUR,6 Disember- Operasi Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil pada 8 Disember 2023 akan dilanjutkan sehingga pukul 1.00 pagi (9 Disember 2023) bersempena Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023. Diskaun sehingga 25 peratus turut ditawarkan kepada penumpang dari atau ke destinasi Bukit Jalil.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menerusi kenyataan meminta penyokong tiba lebih awal ke Stadium Bukit Jalil sebelum pukul 5.00 petang bagi mengelakkan kesesakan pada waktu puncak.
"Ia bagi memberi keselesaan kepada penyokong dan juga warga kota yang pulang daripada bekerja. Pengguna diingatkan untuk menggunakan kad Touch 'n Go (TNG) dan memastikan baki kad mencukupi. Diskaun tambang sehingga 25 peratus diberikan kepada penumpang dari/ke Stesen LRT Bukit Jalil sahaja," menurut kenyataan itu.
Tambah Prasarana, kakitangan dan tren tambahan akan disediakan bagi membawa semua penumpang untuk pulang ke destinasi masing-masing selepas tamat perlawanan.
Penyokong juga diminta mematuhi peraturan pihak berkuasa dan menjaga keselamatan diri.
Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 8 Disember 2023.