fb fb fb fb fb

PH adakan mesyuarat bincang PRK Kuala Kubu Baharu

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 4 April- Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan hal-hal berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu serta memuktamadkan calon yang sesuai untuk bertanding mewakili parti itu di kawasan tersebut.

Menteri Dalam Negeri yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH untuk menentukan tarikh bagi mengadakan mesyuarat tersebut.

"Biasanya pada mesyuarat itu kami akan memuktamadkan status dari segi parti yang bertanding di kawasan yang mengalami kekosongan itu.

"Kemudian kami akan mendengar parti berkenaan untuk mengemukakan tentang senarai calon mereka... seterusnya kami akan membincangkan soal persiapan jentera, logistik dan sebagainya," katanya kepada media di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata secara kebiasaannya itu adalah turutan setiap kali perjumpaan dan agenda parti mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Sementara itu Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Pengisytiharan kekosongan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu susulan kematian penyandangnya mewakili DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI