RANTAU PANJANG, 10 Mac- Pasukan Gerakan Am (PGA) memperketat kawalan di sempadan Kelantan-Thailand susulan insiden letupan dan tembakan di Sungai Golok, Thailand, pada 8 Mac lalu yang mengorbankan dua anggota sukarelawan pertahanan negara jiran itu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata kawalan dipertingkatkan di pangkalan haram dan laluan denai sepanjang Sungai Golok bagi mencegah kemasukan individu tidak diingini serta barangan seludup.
Susulan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, penugasan kini melibatkan Batalion 7 PGA Kuantan, Batalion 9 PGA Kuala Terengganu dan Batalion 3 Senoi Praaq. Elemen unit risikan turut digerakkan bagi memperkukuh kawalan keselamatan sempadan.
Semalam, Razarudin mengarahkan PGA meningkatkan rondaan di pangkalan haram dan titik panas di sepanjang Sungai Golok, selain memperketat kawalan di pos keselamatan.
Pada 8 Mac lalu, dua sukarelawan pertahanan maut dan lapan cedera dalam serangan bersenjata serta letupan bom di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok, kira-kira pukul 7.10 malam waktu tempatan (8.10 malam waktu Malaysia), berhampiran pasar raya Big C yang sering dikunjungi rakyat Malaysia.