fb fb fb fb fb

PETRA, SPAN rangka transformasi sektor perkhidmatan air

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 23 April- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), bersedia merangka langkah transformasi dalam sektor perkhidmatan air negara.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementerian itu berhasrat untuk melibatkan pihak berkepentingan dan bekerjasama dengan Persatuan Air Malaysia (MWA) untuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak terlibat.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beberapa faktor penting telah dipertimbangkan seperti pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri air untuk meningkatkan kemampanan dan kecekapan operasi.

"Kerajaan sedar bahawa kepentingan dan pandangan utama pihak berkepentingan mesti dipertimbangkan dan ditangani dalam proses transformasi air. Oleh itu, pembaharuan perkhidmatan sektor air adalah keutamaan strategik.

"Ia akan diusahakan untuk mengukuhkan dan meningkatkan perkhidmatan syarikat air, pihak berkepentingan yang berkaitan dan pengguna. Pendekatan keseluruhan dasar kerajaan adalah untuk memastikan pemodenan dan pembaharuan dalam penyampaian perkhidmatan air," katanya dalam ucapan perasmian sebelum merasmikan Majlis Makan Malam Tahunan ke-36 MWA dan Malam Anugerah 2024 sempena Anugerah Industri SPAN dan ASIAWATER 2024 di ibu negara.

PETRA telah merangka Pelan Transformasi Air untuk tadbir urus air sejak tiga bulan lepas.

Dalam majlis sama sebanyak 12 anugerah telah disampaikan kepada pemain industri atas pencapaian cemerlang dalam pelbagai kategori seperti Kepimpinan Wanita, Operator Awam Terbaik 2023, Perkhidmatan Prestasi Terbaik, Projek Terbaik dan Inovasi Terbaik dalam Industri Air.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI