KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melaksanakan dasar baharu bagi menggalakkan pembangunan loji janakuasa solar terapung dalam negara.
Antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk mewujudkan kategori khas bagi solar terapung di bawah Program Solar Berskala Besar (LSS) serta membuka pemasangan solar di badan permukaan air di bawah Program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SELCo).
Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah tersebut selaras dengan hala tuju dan kawal selia bekalan elektrik hijau yang dilaksanakan kementeriannya.
"Sebagai contoh, bagi LSS kelima, daripada 2,000 megawatt (MW) yang dibuka secara keseluruhan, 500 MW diperuntukkan untuk solar terapung. Bagi LSS5+, jumlah itu turut digandakan kepada 500 MW bagi projek solar terapung," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How, di Dewan Rakyat, di sini.
Menurut Akmal Nasrullah, pembangunan loji janakuasa solar yang memanfaatkan kawasan brownfield itu dapat mengelakkan penebusgunaan tanah, selain membolehkan tanah sedia ada dimanfaatkan untuk aktiviti ekonomi lain yang lebih produktif seperti pertanian, agro makanan, dan industri.