PETRA cari penyelesaian menyeluruh tangani isu air di Labuan

Foto FB Fadillah Yusof

LABUAN, 27 Januari – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terus komited membantu menangani isu bekalan air di Labuan melalui langkah proaktif untuk keterjaminan bekalan air di pulau itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PETRA komited tangani isu bekalan air di Labuan dengan langkah proaktif untuk keterjaminan bekalan.
  • Labuan bergantung kepada air dirawat di Loji Lawa Gadong, disalurkan melalui paip dasar laut 25.7 km.
  • Pemantauan projek perintis untuk kenal pasti sumber air alternatif bagi kegunaan domestik dan industri.
  • Bekalan air stabil penting untuk kesejahteraan rakyat, sokong pertumbuhan ekonomi dan institusi kritikal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Labuan kini bergantung kepada bekalan air yang dirawat di Loji Rawatan Air Lawa Gadong di Beaufort, Sabah yang disalurkan ke pulau itu melalui paip dasar laut sepanjang 25.7 kilometer.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata PETRA akan melaksanakan projek perintis bagi mengenal pasti sumber air alternatif untuk kegunaan domestik dan industri.

“Kita (PETRA) akan membuat kajian projek perintis, akan dilaksanakan, Insya-Allah dan kalau berjaya kita berharapkan ianya akan menjadi kaedah baharu untuk setiap pulau-pulau di Malaysia ini, sebab itu Labuan dijadikan pilihan sebagai tempat yang agak kritikal, yang kita beri tumpuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek bekalan air yang telah siap di sini hari ini.

Tambah Datuk Seri Fadillah, kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, sejajar dengan hasrat kerajaan yang menekankan kemampanan, kesejahteraan serta keprihatinan terhadap keperluan rakyat.

Bekalan air yang stabil juga dapat menyokong pertumbuhan ekonomi Labuan.

Selain itu, ia memberikan impak besar kepada rakyat serta institusi penting termasuk Hospital Labuan, pusat pendidikan dan juga industri logistik minyak dan gas.