fb fb fb fb fb

PETRA bangun NAWABS, kekalkan fungsi sungai

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang membangunkan Sistem Pengurusan Imbangan Air Negara (NAWABS) di 19 lembangan sungai bagi memastikan fungsi sungai sebagai sumber air dikekalkan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia sebagai usaha bagi menghadapi masalah kekurangan air terutama pada musim kemarau.

"Kementerian akan terus memperluas pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang merupakan satu sistem takungan yang dibina di tepi sungai untuk menerima lebihan air sungai khususnya ketika musim hujan.

"Takungan air daripada TAPS akan dilepaskan ke aliran sungai atau terus ke Loji Rawatan Air (LRA) jika diperlukan ketika musim kering atau ketika berlakunya pencemaran di sungai bergantung kepada kapasiti dan sumber air yang ada. Pada masa yang sama, TAPS juga bertindak sebagai kawalan banjir ketika musim tengkujuh untuk menakung lebihan aliran air banjir," katanya ketika menjawab soalan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff di Parlimen.

Selain itu kaedah penyelesaian secara struktur seperti pembinaan empangan dan pembendung air atau kolam takungan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) akan diguna pakai sebagai usaha untuk memanfaatkan air banjir atau lebihan air hujan.

Bagaimanapun kaedah tersebut sedang dilaksanakan di Sungai Klang dan Sungai Melaka.

Sementara itu berkenaan isu air di Kelantan Fadilah berkata, projek berkaitan tebatan banjir banyak diterima bagi mengatasi isu tersebut.

"Namun isu sebenarnya di Kelantan ialah permintaan air lebih besar atau lebih banyak daripada kemampuan syarikat bekalan air untuk membekalkan air.

"Secara puratanya kalau kita bandingkan pengeluaran dan permintaan pengeluaran adalah pada tahap 514.7 juta liter sehari berbanding dengan permintaan 584.4 juta liter sehari," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Siti Zailah.

Fadillah turut menjelaskan berkenaan kadar air tidak terhasil (NRW) di negeri itu juga tinggi iaitu berada pada pada 54.5 peratus.

Kerajaan juga sedang membantu menyiapkan beberapa LRA dalam memastikan isu air di Kelantan dapat dikurangkan.

Antaranya kawasan yang mengalami isu air ialah di Kubang Kerian, Gua Musang dan Tanjung Mas di Kota Bharu.

Dalam masa sama pihak syarikat air dan kerajaan negeri perlu bekerjasama bagi mencari jalan penyelesaian masalah loji rawatan tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI