fb fb fb fb fb

Pesuruhjaya Tinggi PBB zahir sokongan perjanjian gencatan senjata di Gaza

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Volker Türk/Foto AFP

KUALA LUMPUR, 5 Jun - Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Volker Türk menyatakan sokongannya terhadap perjanjian gencatan senjata yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS) berkaitan konflik di Gaza.

Beliau berkata norma dan piawaian mengenai pengendalian peperangan telah dicabuli dengan kejam di Gaza.

Justeru, beliau mengalu-alukan sebarang inisiatif yang boleh membawa kepada penamatan permusuhan di bumi Gaza.

"Sebarang inisiatif yang membawa kepada gencatan senjata..yang membawa kepada pengakhiran atas apa yang berlaku sekarang adalah amat dialu-alukan.

"kita hanya boleh berharap kerana ia melibatkan kemanusiaan. Kita tidak tahu bagaimana untuk huraikan kerana ia melampaui bencana dan malapetaka," katanya pada sidang media di Putrajaya pada Selasa.

AS pada Isnin mahu sembilan anggota Majlis Keselamatan PBB menerima pakai resolusi menyokong cadangan yang digariskan oleh Presiden Joe Biden untuk menamatkan pertempuran antara tentera Israel dan kumpulan militan Palestin Hamas di Semenanjung Gaza.

Resolusi memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto oleh AS, Perancis, Britain, China atau Rusia untuk diluluskan.

Dalam perkembangan lain, Turk berkata usaha Malaysia untuk menarik pelaburan asing pada masa hadapan boleh dihalang sekiranya amalan perniagaan tidak mengutamakan hak asasi manusia.

Türk berkata sekiranya amalan perniagaan tidak mengutamakan hak asasi manusia, ia akan memudaratkan pelaburan asing pada masa depan.

"Seperti yang saya nyatakan, isu perniagaan dan hak asasi manusia adalah sebahagian daripada perbincangan kami, kerana kami tahu apabila melibatkan amalan perniagaan, jika ia tidak berorientasikan hak asasi manusia, ia akan memudaratkan pada masa depan," katanya.

Türk menjawab soalan media berkaitan sama ada eksploitasi pekerja asing akan menjejaskan usaha Malaysia untuk menarik pelaburan asing.

PBB sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai jumlah penipuan pekerjaan yang tinggi dan insiden pemerdagangan orang melibatkan pekerja asing yang dibawa ke Malaysia oleh agensi pengambilan pekerja.

GRACE AISYAH KEDAYAN