fb fb fb fb fb

Pesta Suntong Bako berpotensi dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak

'Flag Off' pertandingan mencandat sotong pada Pesta Suntong Bako di Terminal Penumpang Bako / UKAS

KUCHING, 3 Jun- Pesta Suntong Bako berpotensi diangkat menjadi salah satu pesta tahunan dalam kalendar pelancongan Sarawak.

Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi berkata langkah itu juga sekali gus sesuai untuk mempromosi perkampungan Bako yang merupakan sebuah kawasan Sarawak Delta Geopark yang kaya dengan khazanah dan warisan alam semula jadi.

“Terutama di Bako ini, banyak tarikan kepelbagaian biologinya, termasuk Taman Negara. Jadi kita harap lebih ramai pelancong akan malawat kawasan ini untuk menikmati alam semula jadi,"katanya.

Menurutnya lagi, Pejabat Residen Kuching juga telah memainkan peranan untuk memberi pendedahan dan pendidikan mengenai Sarawak Delta Geopark kepada penduduk setempat di kawasan tersebut.

Malah katanya, penerimaan komuniti setempat turut amat menggalakkan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan acara pelepasan atau 'flag off' pertandingan mencandat sotong pada Pesta Suntong Bako di Terminal Penumpang Bako.

Katanya, Pesta Suntong yang julung kalinya diadakan itu telah menarik menyertaan 35 orang yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Mencandat Suntong.

Pertandingan membabitkan dua kategori iaitu Kategori Suntong Terpanjang dan Kategori Berat Terkumpul dengan melibatkan luas kawasan pertandingan adalah sekitar kawasan perairan Pulau Lakei.

Beliau turut optimis pesta yang berlangsung selama dua hari itu dapat membuka peluang untuk penduduk setempat memperkenalkan budaya dan cara hidup tempatan melalui pelbagai aktiviti dan persembahan selain mempamer dan menjual hasil laut yang segar kepada pengunjung.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE