fb fb fb fb fb

Pesawat latihan gagal mendarat, tayar hadapan tercabut - CAAM

Kenyataan media CAAM

PUTRAJAYA, 23 Januari- Sebuah pesawat latihan jenis Piper gagal mendarat dengan baik hingga menyebabkan tayar hadapan tertanggal.

Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam satu kenyataan mengesahkan insiden membabitkan pesawat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka pada pukul 3.07 petang tadi ketika dikendalikan seorang juruterbang pelatih.

"Pesawat latihan jenis Piper PA-28-181 dengan nombor pendaftaran 9M-ITX yang dikendalikan oleh International Aero Training Academy (IATAC) itu dipercayai gagal mendarat dengan baik hingga menyebabkan tayar hadapan tertanggal," katanya.

Bagaimanapun juruterbang pelatih terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Namun pesawat berkenaan dialihkan dari landasan pada pukul 3.35 petang dan dibawa ke hangar berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

"Lapangan terbang tersebut kembali beroperasi pada pukul 4.12 petang selepas semua pemeriksaan keselamatan selesai dilakukan," katanya.

Biro Siasatan Kemalangan Udara bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 akan melaksanakan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI