fb fb fb fb fb

Pesara pensyarah terpedaya skim pelaburan tidak wujud, rugi lebih RM1.06 juta

Foto Fail

JOHOR BAHRU, 9 April- Seorang pesara pensyarah di Johor mengalami kerugian lebih RM1.06 juta, selepas diperdaya skim pelaburan tidak wujud, sejak Disember lalu. 

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata pengadu merupakan seorang warga emas, ditipu menerusi tawaran pelaburan oleh sebuah syarikat saham, yang diiklankan di Facebook.

Mengikut hantaran terbabit, peserta dijanjikan pulangan sehingga lapan peratus, daripada modal pelaburan, setiap kali transaksi dibuat. 

Tertarik dengan tawaran berkenaan, lelaki berusia 61 tahun itu telah membuat pembayaran wang ke beberapa akaun bank, berjumlah RM1,065,000, sekitar Disember tahun lepas. 

Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan wang keuntungan yang dijanjikan suspek, atas pelbagai alasan.

Pengadu juga telah membuat semakan terhadap nombor telefon suspek, dan dikesan mempunyai rekod penipuan. 

Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada 22 Mac lalu dan kes disiasat mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM