
KUALA LUMPUR, 24 Januari – Pelaksanaan kenaikan gaji Fasa 2 Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), menerima reaksi positif dalam kalangan pesara dan penjawat awam.
- Pesara dan penjawat awam menyambut baik kenaikan gaji Fasa 2 SSPA sebagai bantuan ekonomi untuk keluarga.
- Rakyat memuji Kerajaan MADANI atas keprihatinan dan inisiatif meringankan beban kos sara hidup.
- Peningkatan gaji dijangka membantu menstrukturkan kewangan, sokongan pendidikan dan keperluan terapi anak.
Penjawat awam, Dayang Norsuria Salleh berkata pelaksanaan tersebut banyak manfaat buat keluarganya.
“Insya-Allah dapat membantu saya menstrukturkan semula gaji sedia ada. Dan pada masa yang sama, dapat membantu saya lebih menumpukan kepada pendidikan dan juga terapi anak yang memerlukan,” katanya kepada RTM.
Penjawat awam, Muhammad Mahmuddin pula berkata kenaikan itu menandakan kerajaan benar-benar peka terhadap kebajikan penjawat awam.
“Kenaikan gaji menerusi SSPA ini telah menterjemahkan bahawa Kerajaan MADANI benar-benar peka terhadap kebajikan penjawat awam,” katanya.
Sementara menurut pensyarah di sebuah universiti awam, Wan Admiza Wan Hassan, beliau turut gembira dengan kenaikan gaji Fasa 2 SSPA ini.
“Saya merasa gembira kerana dengan kenaikan gaji kali kedua ini dapat menambah sedikit pendapatan untuk mengukuhkan lagi ekonomi keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, pesara perkhidmatan awam, Zainal Abidin Asri Abd. Wahid menzahirkan rasa syukur dengan kenaikan berkenaan.
“Terima kasih kepada Kerajaan MADANI yang begitu prihatin menjaga kebajikan rakyat, macam-macam inisiatif dilaksanakan untuk memberi lebih keselesaan kepada rakyat, jadi terima kasih banyak-banyak atas kenaikan ini, syukur Alhamdulillah,” katanya.
Pesara, Mohd Shah Abd. Kadir juga meluahkan rasa syukur dengan kenaikan gaji Fasa 2 SSPA itu dan berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif tersebut.
“Terima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan MADANI dan juga Perdana Menteri yang telah berbesar hati telah memberikan kenaikan ini dan untuk meringankan beban dan juga dapatlah kita menampung keperluan harian dan sebagainya,” katanya.
Bekas guru, Aminah Abdul Rahman pula pelaksanaan gaji Fasa 2 SSPA itu boleh menampung kos sara hidup dan juga satu penghargaan daripada kerajaan kepada pesara perkhidmatan awam.
“Apa dikatakan, boleh menampung kos sara hidup pesara kerajaan serta menghargai jasa perkhidmatan kita sebagai bekas pekerja,” katanya.