fb fb fb fb fb

Pesara guru usahakan ladang buah tin terbesar

MASJID TANAH, 9 Februari- Pokok buah tin, pohon syurga yang tinggi harganya dan memerlukan modal yang besar untuk menanamnya.

Namun itu tidak mematahkan semangat seorang pesara guru di Melaka yang mengambil inisiatif mewujudkan ladang pokok buah tin dan kini menjadi antara ladang terbesar di negara ini.

Terletak di Solok Duku, Masjid Tanah, ladang seluas 8,000 kaki persegi itu diusahakan Mohamad Balok, 53 tahun.

Kesemua 1,500 pokok buah tin yang ditanam di ladang itu berasal daripada lebih 50 buah negara.

Antaranya Jepun, Iraq, Palestine, China dan Sepanyol.

Katanya, cabaran besar ketika mula menceburi penanaman pokok itu adalah modal.

Ini memandangkan harga sebatang pokok khususnya yang diimport mencecah ratusan ringgit.

"Cabaran besar saya ialah modal biasa dalam kita nak memperbesarkan lagi ladang ini dengan infrastruktur yang kita tengok hari ini memang memerlukan kos yang tinggi sebab hambatan harga barang sangat cepat berbanding modal yang kita ada Cabaran kedua, pohon tin ini senang dari segi lisan tapi tak mudah seperti apa yang kita usahakan sebab untuk mengusahakannya, kita perlukan kesabaran dan keazaman yang tinggi," katanya.


(Pengusaha ladang buah tin, Mohamad Balok)

Menggunakan konsep Agro Pelancongan, Pendidikan dan Kesihatan, Mohamad berharap pengunjung yang datang dapat menimba ilmu dan belajar mengenai keistimewaan buah tin.

Beliau kini dalam perancangan menambah 10,000 pokok dengan menghasilkan anak pokok tin sendiri.

"Kebun tin terbesar dan terbuka ini di Malaysia kita mahu ia dijadikan ikon pelancongan negara .Niat saya nak jadi ikon pelancongan negara, kita nak juga pelancong- pelancong luar datang ke Melaka, orang Malaysia akan datang ke sini juga sebab menariknya di sini, kita boleh petik makan dan rasa nikmat dari tangannya, tidak ada di tempat lain," ujarnya lagi.

Dalam mempelbagaikan lagi hasil pokok buah tin, Mohamad turut menghasilkan produk hiliran antaranya teh daun tin dan sambal buah tin.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata Melaka berpotensi menjadi perintis kepada hab agro pelancongan bagi tanaman buah tin .

“Ini merupakan satu produk yang baru di negeri Melaka dan sekali gus untukmenjadikan agro pelancongan di negeri Melaka khusus mereka yang ingin mengenali apa itu buah tin, bagaimana pokok buah tin ini," katanya.


(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali)

Media Baharu