PETALING JAYA, 6 September – Pesakit kanser paru-paru di hospital kerajaan kini hanya perlu menunggu purata dua minggu untuk memulakan rawatan selepas menerima pengesahan diagnosis.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata tempoh itu diukur bermula selepas pesakit menjalani ujian biopsi dan penentuan tahap kanser dilakukan, sebelum rawatan dimulakan.
“Pada masa ini, lebih 70 peratus pesakit kanser paru-paru memulakan rawatan dalam tempoh dua minggu selepas diagnosis disahkan. Namun, kita sentiasa berusaha untuk menambah baik kecekapan perkhidmatan supaya pesakit dapat dirawat secepat mungkin,” katanya.
Beliau dalam pada itu menegaskan, kebanyakan kes kanser dikesan pada peringkat akhir sehingga memerlukan rawatan agresif meningkatkan peluang pesakit untuk sembuh.
“Cita-cita kita adalah memastikan rawatan segera dapat diberikan, kerana kelewatan boleh menjejaskan keberkesanan rawatan,” ujarnya.
Datuk Seri Dr. Dzulkefly turut mengumumkan rancangan untuk memperluas program saringan kesihatan paru-paru daripada tujuh klinik kesihatan terpilih kepada 150 klinik kesihatan menjelang 2026.
Antara klinik sedia ada ialah di Pendang (Kedah), Seberang Jaya, Kajang, Batu 9 Cheras, Beserah (Pahang), Kok Lanas (Kelantan) dan Luyang (Sabah).
“Saringan ini bukan sahaja melibatkan kanser paru-paru dengan teknologi AI X-ray, tetapi juga COPD, asma, tuberkulosis (tibi) serta penyakit paru-paru pekerjaan seperti asbestosis dan silikosis,” jelasnya.
Beliau berkata pengesanan awal amat penting bagi mengurangkan komplikasi dan kematian akibat penyakit paru-paru.