fb fb fb fb fb

Peruntukan tambahan RM100 juta kerajaan MADANI bantu bina semula Gaza

Menyokong kemerdekaan Palestin tanpa sebarang syarat / Foto AFP

PUTRAJAYA, 25 Ogos – Kerajaan memberi jaminan bahawa komitmen Malaysia terhadap perjuangan Palestin tidak pernah berubah, termasuk melalui peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kaedah pelaksanaan kali ini akan memberi tumpuan kepada proses pembangunan semula Gaza, berbeza dengan pendekatan sebelum ini yang lebih menekankan bantuan makanan.

“Dua tahun lalu, termasuk sekitar Oktober dan November 2023, kita berjaya mengusahakan sumbangan bersama pihak swasta.

Namun, banyak bekalan makanan yang disediakan terbazir akibat sekatan rejim Zionis yang tidak membenarkan kemasukan ke Gaza.

Kali ini fokusnya mungkin berbeza, iaitu ke arah usaha membangunkan semula Gaza. Saya percaya ia boleh direalisasikan dengan kerjasama rakan antarabangsa, termasuk Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan Ogos 2025 di Putrajaya.

Datuk Fahmi turut menegaskan pendirian Malaysia jelas, iaitu menyokong kemerdekaan Palestin tanpa sebarang syarat serta akan sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin.

HASRON BIN HASSAN