KUALA LUMPUR, 20 Julai - Peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan Negara diyakini mampu memberi impak yang signifikan dalam usaha memperkukuh perpaduan rakyat, khususnya di peringkat akar umbi.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali, peruntukan ini seharusnya dimanfaatkan bagi mewujudkan platform wacana berimpak seperti podcast, forum dan diskusi ilmiah yang melibatkan ahli akademik, pakar bidang, pempengaruh serta bekas anggota keselamatan bagi berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai pentingnya keharmonian kaum.
Beliau menegaskan pengisian berunsur kenegaraan ini perlu disasarkan kepada generasi muda, yang dilihat semakin kurang pengetahuan tentang sejarah negara dan hubungan antara kaum.
"Kita tidak mahu generasi hari ini lupa kepada detik-detik hitam seperti peristiwa 13 Mei. Ini penting supaya mereka menghargai perpaduan yang ada," jelasnya ketika dihubungi Berita RTM.
Prof Madya Dr Mazlan turut mencadangkan agar kandungan program seumpama itu wajar disiarkan melalui RTM dan diperluaskan ke platform media sosial agar lebih dekat dan relevan dengan generasi digital masa kini.
Beliau turut berpandangan, selain penganjuran program berbentuk kenegaraan, kerajaan juga perlu mempertimbangkan reformasi dasar sosial negara sebagai pendekatan jangka panjang ke arah perpaduan yang mampan.
“Kita perlukan pendekatan yang lebih progresif dan komprehensif untuk menjamin perpaduan nasional dalam jangka masa panjang,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan tambahan RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan Negara bagi menyokong usaha memelihara keharmonian dan membendung hasutan yang boleh menggugat kestabilan negara.
Beliau turut menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan hasutan kebencian kaum atau tindakan melampau yang boleh menjejaskan keharmonian, sebaliknya fokus kepada perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia bagi menyokong usaha kerajaan memajukan negara.