fb fb fb fb fb

Peruntukan tambahan RM1.1 juta selesai isu projek naik taraf Zoo Johor

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor

KULAI, 15 April - Kerajaan Negeri Johor meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.1 juta bagi menyelesaikan tiga isu utama yang dikesan pada hujung Mac lalu, melibatkan projek naik taraf Zoo Johor.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk menyediakan sebuah tangki septik di setiap kandang haiwan, baik pulih tebing runtuh serta naik taraf sistem pendawaian dan perpaipan di sekitar zoo berkenaan.

Situasi itu menyebabkan pembukaan semula zoo terlibat yang dijadualkan pada hujung bulan ini, ditangguhkan pada Ogos depan dan akan dibuka kepada orang awam secara berperingkat.

"Sebab zoo ini tidak pernah dibuka kepada orang ramai, jadi binatang yang ada itu maksudnya, sekali orang ramai masuk dikhuatiri terkejut.

"Jadi apa yang kita buat kita akan buka secara macam penyediaan 'pallet run' untuk kuantiti tertentu, kemudian kita pergi pada isipadu lah," kata Mohd Jafni kepada media selepas mengadakan tinjauan ke kawasan terjejas air di Felda Bukit Permai, di sini.

Sebelum ini, sebanyak RM7 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri untuk kerja-kerja naik taraf Zoo Johor bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

TETITIA YUSOFF