fb fb fb fb fb

Peruntukan saringan mamogram ditambah, bukti keprihatinan kerajaan

Foto Fail/BERNAMA

BUKIT MERTAJAM, 26 Oktober- Lebih 500,000 wanita telah menjalani pemeriksaan mamogram percuma dari tahun 2007 hingga September 2024.

Usaha itu direalisasikan menerusi program Pink October, yang dianjurkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata kerajaan komited memastikan wanita mendapat akses yang lebih luas terhadap penjagaan kesihatan dan pemeriksaan berkala.

Langkah itu seiring dengan usaha meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara.  

"Sepanjang pelaksanaan program ini dari tahun 2007 hingga September 2024. Kita ada 525,100 wanita seluruh Malaysia yang telah menjalani pemeriksaan mamogram.

Hasil pemeriksaan, ada yang didapati positif. Maka, sebab itulah kita sangat menggalakkan agar wanita mengambil peluang ini bawah LPPKN," kata Dr. Noraini kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, kerajaan telah meningkatkan peruntukan bagi program pemeriksaan itu menerusi Belanjawan 2025, dengan tambahan RM2 juta dari jumlah asal, RM6 juta.

Peruntukan kini mencecah RM8 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada 35,000 wanita untuk menjalani pemeriksaan mamogram percuma.  
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM