KUALA LUMPUR, 24 Julai - Sebanyak RM50 juta diperuntukkan bawah program Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit pada tahun ini, sebagai usaha memajukan penanaman padi bukit dan padi huma pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, tumpuan utama program berkenaan adalah di kawasan penanaman padi bukit atau padi huma khususnya bagi Sabah dan Sarawak.
"Pelaksanaan program Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit pada tahun ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 43,000 orang pesawah yang mengusahakan tanaman padi bukit atau padi huma di Sabah dan Sarawak.
"Program ini meliputi pembekalan input pertanian seperti baja sebatian, baja urea cair dan racun rumpai yang mana pembekalan dan penghantaran input pertanian dijangka akan dilaksanakan sebelum musim penanaman padi yang akan bermula pada Ogos 2024," Arthur menjawab menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan, di Dewan Negara.
Tahun lalu, keluasan penanaman padi bukit atau padi huma di Sabah adalah 13,266 hektar dengan pengeluaran hasil padi 30,424 tan metrik dan melibatkan 15,617 orang pesawah.
Manakala, keluasan bertanam bagi Sarawak pula , 29,268 hektar dengan pengeluaran hasil padi sebanyak 22,542 tan metrik, melibatkan 23,260 orang pesawah.