KUALA KEDAH, 18 Julai - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk kerja membaiki, menaik taraf serta membina jeti pendaratan ikan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan nelayan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata langkah itu bagi memastikan nelayan dapat meneruskan aktiviti tangkapan ikan sekali gus melaksanakan agenda keterjaminan bekalan makanan negara.
"Negara tidak boleh berhadapan dengan krisis bekalan ikan dan memerlukan bekalan ikan yang cukup dalam melaksanakan agenda keterjaminan makanan itu.
Jadi, usaha-usaha ini bertujuan untuk memastikan nelayan di sini dapat meneruskan aktiviti tangkapan ikan dengan baik," kata Muhammad Faiz kepada pemberita pada Program Ramah Mesra MADANI Libat Urus Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Kedah di Jeti Pendaratan Ikan Seberang Kota, di sini.
(Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil bersama masyarakat nelayan di Kuala Kedah)
Tambahnya, nelayan juga dapat meningkatkan pendapatan mereka dengan menjual terus hasil tangkapan kepada pengguna tanpa melalui banyak tapisan dan rantaian bekalan sekiranya jeti pendaratan ikan di negara diperkemas.
Kerajaan juga telah meluluskan RM75, 900 untuk membaik pulih jeti pendaratan ikan di Kuala Kedah manakala RM20,000 lagi membina sebuah tandas awam di jeti itu.
Pada program itu, seramai 59 nelayan di Kedah menerima bantuan pukat manakala seorang nelayan lagi mendapat bantuan sebuah enjin bot dengan nilai keseluruhannya hampir RM50,000.