fb fb fb fb fb

Peruntukan RM5 juta kepada MBM

PORT DICKSON, 28 Mei - Sebanyak RM5 juta diperuntukkan kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) setahun bagi memperkasa golongan muda untuk memacu negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan itu diberikan memandangkan beliau berpuas hati terhadap prestasi yang ditonjolkan dan berharap agar MBM tidak mempunyai masalah kewangan.

"Pembinaan, permintaan supaya pentadbiran MBM dan program-program itu,  tidak ada kekangan daripada segi kewangan. Kita bantu secara yang mampu, tetapi oleh kerana memandangkan saudara Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid dan rakan-rakan menunjukkan kesungguhan mereka, termasuk dalam menjayakan Negara Madani, dengan keyakinan, dengan ilmu, dengan nilai, dengan ihsan, maka saya setuju supaya diberikan peruntukan RM5 juta," kata Anwar di sini.

(Anwar ketika berucap pada
Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan, di sini)

Menurut beliau, MBM mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mewakili persatuan, kaum, dan agama, sekaligus boleh mendidik belia mengenai semangat perpaduan.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyempurnakan pelancaran Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030) yang menjadi pelengkap kepada Dasar Belia Malaysia.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh Tseow Suan.

Anwar berkata MBM perlu memperincikan laporan mengenai hala tuju, menerusi peruntukan yang diumumkan itu, dan beliau mahukan dalam tempoh sebulan ini, MBM memberikan laporan mengenai rancangan pertubuhan itu bagi menambah keanggotaan para belia.

"Keduanya memastikan penyertaan wanita di semua peringkat termasuk pimpinan MBM, bermula dengan penyertaan 30 peratus, dan ketiganya memperhebatkan program, ekonomi, latihan serta kebajikan termasuk kesedaran belia dalam menunaikan tanggungjawab mereka dalam negara ini," katanya.

Beliau berkata para belia perlu mempunyai keyakinan, idealisme, berprinsip, menghormati antara satu sama lain dan tolak segala rasuah.

"Anak muda sekarang mesti sedar bahawa masa depan mereka tentukan, dengan syarat mereka mempunyai komitmen, sikap mahu menimba ilmu dan menolak kemungkaran, tolak rasuah dan kezaliman dan angkat martabat rakyat," katanya.

Bersempena Hari Belia Negara kali ini yang bertemakan 'Ini Masa Kita', Anwar berkata jangan ada pula yang menggunakan agama dan kaum untuk merosakkan negara.

Anwar yang pernah memimpin MBM pada era 70-an berkata menerusi semangat dan prinsip MBM terdahulu, ia menyebabkan beliau tegas untuk memerangi rasuah pada hari ini.

Perdana Menteri turut melancarkan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030) yang menjadi pelengkap kepada Dasar Belia Malaysia, dan selari dengan dasar nasional terkini di majlis hari ini.

MPBM2030 dibangunkan berdasarkan aspirasi golongan belia yang terkesan akibat pandemik COVID-19 memberikan penekanan kepada empat teras, 11 objektif, 14 strategi dan 39 inisiatif.

Model ini disasarkan dapat melahirkan warganegara belia yang dinamik, kompeten, berdaya saing dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran masa kini serta perubahan masa hadapan.

Sementara itu Perdana Menteri berkata syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd dan Petronas dicadangkan supaya dilibatkan dalam program latihan belia yang memberikan tumpuan dalam aspek kepemimpinan.

Anwar berkata beliau akan membawa cadangan berkaitan program latihan di institut latihan belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke peringkat Jemaah Menteri untuk diluluskan dalam masa terdekat.

"Saya akan bawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat supaya agensi-agensi terlibat, baik Perkeso, Khazanah, Petronas; untuk turut terlibat dalam program latihan di institut latihan belia di bawah KBS,” katanya.

Media Baharu