Peruntukan RM350,000 untuk baik pulih Ribath Al-Mustofa, Az-Zahra

Foto Facebook Farhan Fauzi

PUTRAJAYA, 30 Januari – Komitmen memperkasa pendidikan Islam terus diperkukuh apabila peruntukan sebanyak RM350,000 diluluskan bagi menyokong pembinaan serta kerja baik pulih fasiliti di Pusat Pendidikan Ribath Al-Mustofa dan Ribath Az-Zahra Al-Batul di Pahang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM350,000 diluluskan untuk kerja baik pulih dan pembinaan fasiliti Ribath Al-Mustofa dan Az-Zahra.
  • Inisiatif selaras dengan Belanjawan 2026 yang menumpukan pembiayaan pendidikan Islam di seluruh negara.
  • Matlamat memastikan pelajar belajar dalam persekitaran selesa, selamat dan kondusif bagi memupuk generasi berilmu.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, kelulusan peruntukan itu selaras dengan tumpuan Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM2.6 bilion bagi memperkukuh pendidikan Islam termasuk maahad tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok di seluruh negara.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan diluluskan susulan lawatan kerja ke Pusat Pendidikan Ribath Al-Mustofa, Sungai Karang Pantai bagi meninjau keadaan fasiliti dan infrastruktur pusat pendidikan tersebut.

Tambahnya, langkah itu bertujuan memastikan para pelajar dapat menimba ilmu agama dalam persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif.

Usaha berkenaan diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan Islam serta melahirkan generasi berilmu yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.