fb fb fb fb fb

Peruntukan RM300 juta untuk NETR

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Lebih RM300 juta diperuntukkan untuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi tahun hadapan berbanding RM100 juta, tahun ini.

NETR merupakan pelengkap kepada Dasar Tenaga Negara dan boleh menyegerakan aspirasi Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beberapa projek NETR telah memasuki fasa pelaksanaan seperti Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau di Terengganu.

Projek itu katanya, berupaya menghasil hingga 1,000 megawatt dan separuh kapasitinya akan digunakan untuk projek hab hidrogen hijau di Terengganu melibatkan kerjasama PETRONAS dan TNB.

"Kedua, Program Large Scale Solar (LSS). Projek ini untuk membangunkan loji jana kuasa solar berskala utiliti dengan tawaran kuota 2,000 megawatt. Proses bidaan telah ditutup dan penilaian dijangka selesai selewat-lewatnya Disember 2024," kata Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Parlimen.

Dalam pada itu Anwar berkata kerajaan akan memperkenalkan cukai karbon ke atas industri besi dan keluli serta tenaga di Malaysia menjelang 2026.

TETITIA YUSOFF