
PETALING JAYA, 29 Januari – Peruntukan berjumlah RM254 juta yang akan disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), bagi memperkasa 28 program pembangunan koperasi tahun ini merupakan yang tertinggi pernah disalurkan sejak gerakan koperasi ditubuhkan di negara ini.
- Peruntukan besar menunjukkan komitmen kerajaan mengangkat koperasi sebagai pemacu utama ekonomi dan sokongan kepada gerakan koperasi.
- Dana disasarkan untuk program adaptasi teknologi, pendigitalan, pematuhan sosial dan tadbir urus serta inisiatif hijau.
- Sebahagian besar disalurkan melalui pembiayaan modal pusingan untuk menyokong modal kerja, pengembangan perniagaan dan daya saing koperasi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim berkata, peruntukan itu mencatatkan lonjakan ketara sebanyak 167 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam mengangkat koperasi sebagai pemacu utama ekonomi penduduk.
“Kita akan memperuntukkan dana berjumlah RM254 juta, iaitu peruntukan terbesar dalam sejarah gerakan koperasi sejak 1922.
“Dana ini akan dimanfaatkan bagi 28 program, termasuk tujuh program baharu, khususnya dalam aspek adaptasi teknologi, pendigitalan, pematuhan sosial dan tadbir urus (ESG), inisiatif hijau dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas Lawatan Rasmi ke ANGKASA di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai pecahan dana tersebut, beliau berkata sebanyak RM226 juta akan disalurkan melalui Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM, merangkumi lapan program khusus bagi menyokong keperluan modal kerja, pengembangan perniagaan, serta meningkatkan daya saing koperasi di pasaran.
Sementara itu, baki RM27.9 juta diperuntukkan dalam bentuk geran melibatkan 20 program bawah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPb), Kumpulan Wang Pusat (CCF) serta Bajet Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Secara keseluruhan, peruntukan itu mencerminkan iltizam berterusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memperkukuh gerakan koperasi sebagai teras strategik pembangunan sosioekonomi negara, selaras dengan aspirasi RMK13.
Majlis berkenaan turut dihadiri Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah serta Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.