KUANTAN, 4 Mei- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan lebih RM203 juta bagi pelbagai projek pembangunan dan penaiktarafan di Pahang tahun ini, termasuk kemudahan bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri itu, kata Menterinya Nga Kor Ming.
Kor Ming berkata peruntukan tersebut merangkumi pembinaan semula dan kerja ubah suai sebahagian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, naik taraf BBP Bentong, serta pembinaan BBP Sungai Lembing, BBP Benta dan BBP Gohtong Jaya.
Menurutnya, projek-projek berkenaan menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan awam dan kesejahteraan rakyat.
"Pembinaan BBP Gohtong Jaya dan kuarters turut melibatkan kerjasama pintar dengan Genting Malaysia Berhad. Selain itu, kerja awalan perolehan tanah bagi pembangunan BBP Pulau Tioman juga sedang dilaksanakan," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Bomba Sedunia 2025 di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sambutan bertemakan Bomba Tonggak Penyelamatan Negara itu turut diserikan dengan perarakan 34 kontinjen yang melibatkan 1,500 anggota serta 50 buah jentera JBPM, Pasukan Bomba Sukarela, Bomba Pelabuhan Kuantan, Bomba Tentera Udara Diraja Malaysia dan Petronas CEFS.
Nga dalam ucapannya turut menyanjung jasa serta pengorbanan anggota JBPM dalam memastikan keselamatan rakyat dan negara termasuk dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
"Dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights pada pagi Syawal lalu, kita dapat lihat pengorbanan anggota bomba tanpa mengira risiko nyawa.
"Mereka mara ke hadapan dengan keberanian luar biasa, mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan nyawa dan harta benda," katanya.
Turut berangkat mencemar duli dan menyerikan sambutan ialah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.