fb fb fb fb fb

Peruntukan RM113 juta baik pulih cerun dan jalan raya di negeri terjejas banjir

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah) bercakap pada sidang media selepas melihat cerun bukit yang terjejas di laluan Johor Bahru - Endau pada lawatan kerjanya

KOTA TINGGI, 20 Januari - Kerajaan meluluskan RM113 juta permohonan membaik pulih cerun runtuh dan jalan raya rosak di negeri-negeri terjejas banjir.
 
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia melibatkan 129 projek di empat negeri paling terjejas iaitu Kelantan, Terengganu, Johor dan Pahang.
 
Sementara itu RM55.4 juta diperuntukkan untuk membaik pulih 48 cerun, manakala RM57.6 juta untuk baik pulih 81 jalan raya rosak.
 
Kelantan menerima peruntukan paling tinggi iaitu RM34 juta diikuti Johor RM30.17 juta, Pahang RM28.3 juta dan Terengganu RM11.3 juta.
 
"Di peringkat awal, kita tidak boleh hendak buat kerja-kerja fizikal kerana hujan masih turun, kita difahamkan monsun ini akan berlarutan sampai bulan Mac. Sebab itu kita lebih suka sampai tiba masanya tidak lagi hujan.

"Ketika itulah kita buat kerja-kerja supaya kita dapat pastikan kerja-kerja itu cukup sempurna dan terbaik," kata Alexander kepada pemberita selepas lawatan kerja di cerun runtuh FT003 Jalan Johor Bahru - Endau, berhampiran Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Seksyen 29, di sini.
 
Sementara itu, empat lokasi jalan raya di Jalan Kota Tinggi - Mersing bakal dinaik aras dengan kos bernilai RM120 juta.

Dua lokasi jalan di Johor akan dimasukkan dalam permohonan Rancangan Malaysia ke-12, melibatkan naik aras jalan Kota Tinggi - Mersing bernilai RM6 juta dan menggantikan jambatan Sungai Semaloh di Kluang melibatkan nilai RM30 juta.

TETITIA YUSOFF