BACHOK, 12 April- Kelantan mencatat peningkatan peruntukan pembangunan sebanyak 30 peratus tahun lalu kepada RM762 juta, berbanding RM588 juta pada tahun 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Terengganu turut menerima lonjakan peruntukan sebanyak 28 peratus kepada RM2.02 bilion berbanding RM1.57 bilion sebelumnya.
Beliau menjelaskan, peruntukan tersebut meliputi pemberian di bawah MARRIS (Sistem Maklumat Rekod Jalanraya), TAHAP (Pemberian Pembangunan), geran per kapita, wang ehsan serta dana di bawah senarai bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Kelantan hanya menjana sekitar RM500 juta setahun hasil negeri sendiri, manakala Terengganu sekitar RM250 juta. Justeru, bantuan Kerajaan Persekutuan amat penting terutama bagi menyelesaikan isu seperti banjir, bekalan air, jalan raya, serta membantu golongan petani dan nelayan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, Bachok, hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan khas untuk program pembasmian kemiskinan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Bagi tahun ini, Kelantan menerima peruntukan RM25 juta berbanding RM20 juta tahun lalu, manakala Terengganu menerima RM60 juta untuk tahun 2025, berbanding RM50 juta pada 2024.