fb fb fb fb fb

Peruntukan khusus e-sukan, inisiatif KBS bantu penggiat industri tempatan

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim

KUALA LUMPUR, 7 Mac - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESi) komited membangunkan sukan elektronik (e-sukan) negara menerusi peruntukan khusus di bawah dana e-Sukan KBS.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata inisiatif perintis itu merupakan galakan kepada penggiat industri e-sukan tempatan untuk menganjurkan lebih banyak program dan pertandingan.

"Bagi tujuan mengetengahkan bakat baru dalam e-sukan, kejohanan utama yang diterajui oleh KBS adalah Malaysia Esports League (MEL) telah dilaksanakan sebanyak tiga edisi bermula tahun 2021 sehingga 2023 yang telah mendapat penyertaan seramai 26,000 peserta sejak diperkenalkan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan mengenai penyediaan pembangunan e-sukan di kawasan luar bandar.

Tambah Adam, 14 projek dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM250,000 telah dan sedang dijalankan.

Ini termasuk di beberapa kawasan luar bandar seperti Simunjan di Sarawak, Ranau di Sabah dan Alor Gajah di Melaka.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN