fb fb fb fb fb

Peruntukan khas RM20 juta laksana penurapan jalan di Ipoh

FOTO BERNAMA

IPOH, 23 Disember - Sebanyak RM20 juta peruntukan khas diluluskan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi melaksanakan kerja penurapan jalan melibatkan 400 lokasi di sekitar bandar raya itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kelulusan itu diberikan bagi memastikan keselesaan kepada penduduk serta penyelenggaraan infrastruktur bandar dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.

Beliau berkata, jumlah peruntukan tersebut merupakan yang tertinggi diterima oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan di negara ini bagi tujuan penurapan jalan.

"Sudah sampai Hari Krismas pun masih ada peruntukan. Saya rasa perkara ini tidak pernah dilihat sebelum ini. Mana ada jabatan kerajaan yang sudah hujung tahun datang lagi, akaun pun sudah ditutup, tetapi masih ada RM20 juta kerana kita mengelakkan pembaziran dan melaksanakan analisis kos faedah.

"Saya mempunyai pegawai-pegawai hebat seperti Datuk Bandar dan Ketua Pengarah. Sebab itu kita mencari jalan terbaik dengan harga yang paling berbaloi untuk nilai yang paling tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pasar Awam Canning di sini.

Menurut beliau, kerja-kerja penurapan itu dijangka bermula dalam masa terdekat dan disasarkan siap sepenuhnya sebelum Hari Raya Aidilfitri.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM