PAPAR, 11 Oktober - Peruntukan besar untuk Sabah dalam Belanjawan 2026 menggambarkan komitmen, keprihatinan serta usaha berterusan kerajaan Persekutuan membantu menyelesaikan isu elektrik dan air.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini termasuk subsidi RM1.2 bilion bagi menstabilkan bekalan elektrik di Negeri di Bawah Bayu itu.
Menurutnya, dana tersebut amat penting bagi menyelesaikan isu bekalan elektrik yang membelenggu sekian lama.
"Bagi saya yang paling penting ini menggambarkan hubungan muafakat kerjasama yang baik diantara kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan. Walaupun kuasa negeri kini tetapi kerajaan persekutuan komited untuk membantu menyelesaikan isu yang dihadapi oleh rakyat Sabah sejak sekian lama, " katanya dalam sidang media di Kinarut, dekat sini, hari ini.
Peruntukan bagi sektor tenaga itu meliputi RM880 juta subsidi sokongan tarif, subsidi bahan api dan subsidi solar berskala besar iaitu peningkatan berbanding RM700 juta yang diperuntukkan bagi 2025.
Manakala bagi menyelesaikan isu air, RM1 bilion diperuntukkan, antaranya bagi menaik taraf sistem bekalan di Tawau, Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu, menjelang 2026.