
KUALA LUMPUR, 5 Februari– Perubahan iklim kini memberi kesan ketara terhadap kelestarian sumber perikanan negara, khususnya melibatkan kemerosotan habitat dan stok ikan di perairan Malaysia.
- Peningkatan suhu laut merosakkan habitat semula jadi ikan termasuk pemutihan terumbu karang.
- Kenaikan paras air laut menjejaskan rantaian makanan marin dan mengurangkan stok ikan.
- UMT bekerjasama dengan komuniti nelayan untuk pembiakan sumber marin secara mampan.
- Cadangan zon dan musim penangkapan tertutup serta teknologi moden untuk memulihkan dan mengekalkan stok perikanan.
Pensyarah Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz berkata peningkatan suhu laut secara mendadak berupaya merosakkan habitat semula jadi ikan termasuk terumbu karang.
“Apabila suhu laut meningkat secara mendadak, ada sesetengah kawasan yang akan mengalami kerosakan habitat atau tempat tinggal ikan. Sebagai contoh, berlakunya pemutihan terumbu karang. Fenomena pemutihan terumbu karang ini telah berlaku secara besar-besaran pada tahun lepas dan berterusan hingga tahun ini.”
“Selain itu, kenaikan paras air laut dunia turut menjadi kebimbangan kerana ia memberi kesan secara tidak langsung kepada habitat marin. Bukan sahaja sumber ikan terjejas, malah sumber makanan kepada ikan juga akan terkesan,” kata Dr. Mohd Fazrul kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media.
Tambah beliau, kenaikan paras air laut di peringkat global turut menjejaskan rantaian makanan marin, seterusnya mendorong ikan berpindah ke kawasan lain atau mengalami kekurangan sumber makanan, sekali gus memberi kesan kepada stok perikanan negara.
Bagi menangani cabaran berkenaan, UMT melalui kumpulan penyelidiknya menjalinkan kerjasama rapat dengan komuniti nelayan, termasuk melaksanakan usaha pembiakan sumber marin secara mampan.
“Antara usaha yang sedang kami laksanakan ialah mendapatkan sumber marin bercengkerang yang mempunyai telur. Sumber ini akan ditetaskan di daratan sebelum dilepaskan semula ke laut.”
“Langkah ini dilakukan bagi memastikan stok sumber perikanan dapat dikekalkan secara berterusan,” tambahnya.
Sementara itu, UMT turut membangunkan bot katamaran moden yang dilengkapi teknologi perikanan terkini bagi menarik minat generasi muda untuk menceburi sektor perikanan.
Menurut Dr. Mohd Fazrul, pihaknya juga mencadangkan pelaksanaan zon dan musim penangkapan tertutup bagi memberi ruang kepada hidupan laut membiak, di samping menambah nilai produk hasil tangkapan bagi meningkatkan pendapatan nelayan.
Jelasnya, usaha bersepadu melibatkan penyelidik, komuniti dan pembuat dasar amat penting bagi memastikan sumber perikanan negara kekal lestari untuk generasi akan datang.