KUALA LUMPUR, 21 Mei - Prestasi ekonomi negara amat memberangsangkan catat pertumbuhan 4.2 peratus bagi suku pertama 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertumbuhan berkenaan mengatasi anggaran kebanyakan pihak yang mengunjurkan pada 3.9 peratus.
"Empat bulan pertama 2024, jumlah dagangan Malaysia berkembang 8.3% kepada RM912.27 bilion. Kita juga catat lebihan dagangan berjumlah RM41.83 bilion dan syukur kerana kita telah mencapai paras FBM KLCI melepasi 1600 mata dan nilai pasaran ekuiti domestik tertinggi dalam sejarah sebanyak RM2 trilion", katanya ketika menyampaikan Perutusan Negara malam ini.
Anwar berkata lonjakan hampir semua sektor negara yang memangkinkan prestasi itu direkodkan dalam suasana ekonomi global yang terus tidak menentu.
Jelasnya lagi, pasaran buruh berkembang 2.1 peratus menjadikan jumlah tenaga kerja meningkat kepada 16.4 juta.
Manakala, kadar inflasi kekal rendah pada 1.7 peratus berbanding 1.6 peratus pada suku keempat 2023.