
PUTRAJAYA, 13 Februari – Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berkembang 6.3% pada suku keempat 2025 merupakan prestasi yang cukup positif dan mengatasi unjuran awal.
- Pertumbuhan KDNK suku keempat 2025 mencapai 6.3%, melampaui jangkaan awal.
- Kadar pertumbuhan tahunan 2025 meningkat kepada 5.2%, melebihi unjuran 4.9%.
- Sektor pembinaan menyumbang pertumbuhan paling tinggi; pasaran saham dan ringgit berada pada prestasi kukuh.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan pencapaian itu lebih baik; berbanding pada tempoh sama tahun lalu.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata secara keseluruhan bagi setahun penuh 2025, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 5.2% ; berbanding unjuran awal 4.9%.
“Pertumbuhan sebenar bagi suku keempat 2025 bukan 5.2% tetapi 6.3%. Ini jauh mengatasi apa yang kita jangkakan dan secara keseluruhan bagi tahun 2025 ia telah meningkatkan kadar pertumbuhan KDNK dari 4.9% jangkaan awal kepada 5.2%.
“Ini juga lebih tinggi apabila kita bandingkan dengan kadar pertumbuhan KDNK 2024 iaitu 5.1%. Antara sektor yang telah menyumbangkan pertumbuhan paling tinggi adalah sektor pembinaan sebanyak 11%,” katanya pada Sidang Media Mingguan di sini, hari ini.
Dalam sidang media sama, Datuk Fahmi memaklumkan kedudukan Bursa Saham Malaysia berada pada tahap tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, dengan nilai ringgit tergolong dalam antara 10 mata wang berprestasi terbaik di Asia.
“Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa pada ketika ini dan pada hujung tahun lalu, kedudukan bursa saham berada pada kedudukan paling tinggi dalam tempoh 7 tahun dan nilai mata wang ringgit antara 10 terbaik di Asia. Kadar inflasi yang rendah pada 1.4% dan defisit fiskal berada pada 3.7% iaitu kurang daripada 3.8% yang dijangkakan,” katanya.