
IPOH, 14 Februari – Ekonomi Malaysia berkembang 6.3 peratus pada suku keempat 2025, mengatasi unjuran rasmi cerminan kestabilan politik dan tadbir urus kerajaan yang berintegriti.
- Pertumbuhan ekonomi Malaysia 6.3 peratus suku keempat 2025 menunjukkan kestabilan politik dan tadbir urus berintegriti.
- Pelaburan tertinggi dalam sejarah, pengangguran rendah, inflasi terkawal dan pendapatan rakyat meningkat.
- Kerajaan salurkan hasil kepada kebajikan melalui STR, SARA dan peruntukan RM18 bilion untuk elaun dan gaji penjawat awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata angka diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara terus kukuh.
Beliau berkata suasana negara yang aman serta politik stabil menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi mampan, sekali gus mencerminkan keberkesanan dasar pentadbiran semasa.
“Pertumbuhan ekonomi suku keempat amat membanggakan, lebih baik daripada yang kita unjurkan. Pelaburan tertinggi dalam sejarah, pengangguran rendah, inflasi terkawal dan pendapatan rakyat meningkat. Walaupun masih ada cabaran, kekuatan ekonomi ini membolehkan kita terus menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Kasih Keluarga Negara dan Jelajah Sejahtera MADANI – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di sini.
Datuk Seri Anwar berkata kekuatan ekonomi itu membolehkan hasil negara disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang melibatkan peruntukan kira-kira RM15 bilion setahun.
Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM18 bilion bagi penambahbaikan elaun dan gaji penjawat awam yang sekian lama tidak disemak.