
KUALA LUMPUR, 22 Januari – Kerajaan berjaya mengurangkan nisbah bayaran khidmat hutang (DSC) daripada 12.3 peratus pada 2023 kepada 6.4 peratus pada 2025.
- DSC berjaya dikurangkan kepada 6.4 peratus pada 2025 hasil konsolidasi fiskal beransur-ansur.
- Perbelanjaan awam dioptimumkan, pinjaman hanya untuk pembiayaan projek, dan had jaminan kewangan ditetap pada 25 peratus KDNK.
- Fokus pada projek user-pay dan pelaksanaan off-budget disemak semula untuk tarik pelaburan dan kestabilan kewangan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, ia didorong strategi konsolidasi fiskal beransur- ansur bagi memastikan pengurusan kewangan negara lebih mampan dan berhemat.
“Kita akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara beransur-ansur, memperluas asas hasil dan memastikan kutipan hasil yang mampan. Selain itu, perbelanjaan awam akan dioptimumkan, manakala pinjaman kerajaan hanya akan digunakan untuk membiayai projek.
“Had pendedahan jaminan kewangan ditetapkan pada 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui Akta 850. Kita juga mengutamakan projek berorientasi user-pay melalui Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2030, serta menyemak semula kaedah pelaksanaan projek secara off-budget,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Mahiaddin Yasin berkenaan strategi Kerajaan bagi menangani bayaran khidmat hutang yang dijangka mengambil 16.3 peratus daripada jumlah hasil Kerajaan pada tahun 2025 dan langkah-langkah penstrukturan semula hutang bagi mengurangkan beban dalam jangka sederhana dan panjang.
Liew turut optimis bahawa, langkah pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dapat menarik pelaburan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan lestari seterusnya memastikan kestabilan kewangan negara serta kesejahteraan rakyat terpelihara.