fb fb fb fb fb

Pertingkat ilmu al-Quran, Malaysia perlu jalin kerjasama dengan negara lain

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Malaysia boleh menjalin kerjasama dengan negara Islam lain dalam menambah baik ilmu al-Quran.

Syeikh Dr Mohamed Ali Atafay berkata umat Islam di Malaysia boleh mendalami 'manhaj' atau metodologi menghafal kitab suci itu yang diguna pakai di negara Islam lain untuk meningkatkan penguasaan ilmu itu.

Beliau yang merupakan salah seorang hakim Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 menzahirkan rasa kagum apabila mengetahui ilmu hafalan al-Quran begitu dekat di hati umat Islam di negara ini kerana ia diterapkan sejak usia muda.

(Syeikh Dr Mohamed Ali Atafay / FOTO BERNAMA)

"Bahkan apabila saya berjumpa orang ramai di negara ini, mereka tahu saya berada di Malaysia untuk menjadi hakim MTHQA, jarang-jarang saya jumpa sambutan sebegini di negara lain," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Syeikh Mohamed Ali yang berasal dari Maghribi berkata seramai 36 qari dari seluruh dunia terpilih menyertai pertandingan MTHQA pada tahun ini.

Beliau berkata, antara kriteria utama yang difokuskan ialah penguasaan tajwid, kefasihan dalam sebutan ayat, maqamat atau taranum serta kemerduan alunan suara ditampilkan peserta.

"Kebiasaannya yang memenangi pertandingan di Malaysia berpotensi besar memenangi pertandingan lain kerana Malaysia sudah lama menganjurkan pertandingan ini dan saya yakin barisan hakim juga amat berpengalaman luas dalam pengkhususan bidang masing-masing seperti taranum, tajwid serta qiraat.

"Saya berharap Malaysia dapat meneruskan penganjuran supaya negara ini terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman dan konspirasi, selain melahirkan lebih ramai hufaz yang akan menjadi pelapis pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Dr Maria Ulfa yang juga wanita pertama menjadi hakim MTHQA pula memuji keterbukaan Malaysia memilih panel bagi mengadili pertandingan itu.

Beliau berkata, pembabitan dua hakim wanita termasuk Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff menunjukkan Malaysia mengamalkan kesaksamaan jantina yang harus dicontohi.

"Dulu walaupun ramai peserta wanita, tetapi tidak ada hakim wanita. Ini membuktikan Malaysia sudah ke hadapan sebagai sebuah negara," katanya yang pernah menjuarai MTHQA pada 1980.-BERNAMA

Media Baharu