fb fb fb fb fb

Rayuan MyPPP untuk sertai semula BN dipertimbang

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 1 September - Rayuan Parti Progresif Rakyat (MyPPP) untuk diterima semula sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) akan dibawa untuk pertimbangan Dewan Tertinggi BN.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata rayuan itu dibuat pemimpin MyPPP selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengiktiraf keabsahan ahli Majlis Tertinggi parti itu pada 11 April tahun lepas.

"Dewan Tertinggi BN akan mengadakan perbincangan dalam mesyuarat tertinggi BN akan datang untuk melihat semula bukan sahaja rayuan, tetapi juga keputusan yang telah ditetapkan pihak mahkamah terhadap keabsahan MyPPP," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MyPPP ke-71 di Pusat Dagangan Antarabangsa (WTC), di sini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pemangku Presiden MyPPP Datuk Dr J. Loga Bala Mohan.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membawa negara mengecapi lebih banyak kemajuan.

Beliau optimis, ia boleh direalisasi berdasarkan pencapaian Kerajaan Perpaduan dalam tempoh dua tahun ini.

Jelasnya, kestabilan politik jelas menjadi tunjang dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut.

"Dan saya yakin dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan dapat membawa Malaysia semula ke arah kegemilangan. Kita lihat dalam tempoh kurang daripada dua tahun pelbagai onak yang telah kita lalui termasuk soal nilai ringgit.

"Kita hampir-hampir menjejah RM5 1 USD tetapi hakikatnya nilai ringgit kita semakin meningkat dalam tempoh 18 tahun, keadaan ini telah kita lalui dan ini adalah kerana kestabilan politik," katanya.

TETITIA YUSOFF