KUALA LUMPUR, 21 Disember - Orang ramai digalakkan untuk mempertimbangkan destinasi agropelancongan yang menarik di seluruh negara sebagai pilihan percutian.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, selain memberi pengalaman pembelajaran kepada anak-anak, agropelancongan juga menyokong pengusaha tempatan dan memperkukuh ekonomi luar bandar.
Sementara itu, bersempena cuti hujung tahun khususnya cuti persekolahan 2025, beliau mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.
"Rancang perjalanan lebih awal, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, dan patuhi semua peraturan lalu lintas. Elakkan memandu dalam keadaan letih atau tergesa-gesa, kerana keselamatan diri dan keluarga adalah keutamaan.
"Gunakan masa cuti ini untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan merehatkan minda. Semoga perjalanan semua rakyat Malaysia dipermudahkan, selamat pergi dan selamat kembali," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Agropelancongan adalah satu konsep pelancongan yang berkembang pesat kerana Malaysia menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan kepada para pelancong. Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agropelancongan ini adalah lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, inap desa dan sebagainya.
Agensi utama yang membangunkan agropelancongan ialah KPKM, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pula membantu dari aspek promosi.