ABU DHABI, 13 Januari- Pertemuan bersama syarikat-syarikat gergasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi merapatkan hubungan dua hala, selain melonjakkan kerjasama perdagangan dan pelaburan yang terjalin selama ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pertemuan dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) diketuai oleh Pengarah Urusan, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan.
"Kami senada untuk terus meningkatkan kerjasama pelaburan dan kecemerlangan yang dicapai semasa lawatan saya terdahulu", katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri berkata pertemuan dengan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Khaldoon Khalifa Al Mubarak, membincangkan pelaburan baharu dan sedia ada.
"Isu terkait pelaburan projek-projek tenaga boleh diperbaharui antara dibincangkan sewaktu pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi.
Insya-Allah, kita mengharapkan momentum positif pelaburan hasil pertemuan ini akan terus meningkat yang disokong oleh keyakinan dan komitmen pemain industri dan syarikat-syarikat gergasi UAE", katanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang dalam lawatan kerja tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu.
Lawatan tersebut adalah atas jemputan Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) di sini.