fb fb fb fb fb

Pertandingan Karom Ala Kampung perkasa kesedaran TVET

Foto RTM

PEDU, 21 September -Pertandingan Karom Ala Kampung di kawasan Pedu menjadi platform bagi membuka ruang ahli akademik memperkasakan kesedaran pendidikan, khususnya berkaitan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat luar bandar.

Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School Of Goverment (GSGSG) Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, ia juga dapat menceriakan penduduk setempat dengan mengembalikan nostalgia masyarakat untuk melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk sukan secara bersama-sama.

Pertandingan yang diadakan setiap bulan itu melibatkan penyertaan dari tiga buah kampung iaitu Kampung Lubok Merbau, Bukit Buloh dan Keda Bukit Kura, dengan penglibatan aktif golongan belia, veteran serta ahli akademik.

"Malah memberi peluang kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk UUM untuk mewar-warkan peluang yang ditawarkan oleh IPT. Selain itu, ia juga dapat mengeratkan lagi ukhwah silaturrahim sesama penduduk selain mendekati masyarakat setempat," katanya di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, JPKKP Kampung Lubok Merbau berkata, program berlangsung dengan semangat kesukanan yang tinggi ditunjukkan para peserta.

Katanya, penganjuran program-program dalam skala yang lebih kecil dilihat mampu memberi impak yang besar secara langsung kepada golongan sasar.

TETITIA YUSOFF