fb fb fb fb fb

Pertambahan perkhidmatan feri kurangkan kesesakan di Terminal Labuan

Terminal Feri Labuan

LABUAN, 31 Mei- Pertambahan perkhidmatan feri kenderaan daripada pihak operator mengurangkan kesesakan senarai menunggu di Terminal Feri Labuan.
 
Menerusi tinjauan RTM di terminal feri kenderaan Labuan, kesesakan kurang berlaku ketika ini.
 
Ini kerana, pihak operator feri menambah jadual pelayaran feri bagi menampung permintaan orang ramai yang ingin keluar ke tanah besar Sabah.
 
Ia susulan cuti umum sempena Pesta Kaamatan dan juga cuti sekolah, orang ramai mengambil kesempatan keluar bercuti ke Sabah, Brunei dan Sarawak, selain balik ke kampung halaman.
 
Mengikut jadual asal, kira-kira 10 perjalanan feri dijadualkan dalam satu hari namun tidak mampu menampung permintaan tinggi daripada pengguna.
 
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan lawatan singkat ke Labuan pada hari ini.
 
Dalam jadual lawatan itu, beliau dijangka akan meninjau Terminal Feri Labuan seterusnya mengadakan perjumpaan bersama komuniti Labuan.
 
Selepas selesai lawatannya ke Labuan, Datuk Seri Anwar akan berangkat kembali ke Kuala Lumpur pada sebelah petangnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE