fb fb fb fb fb

HCC 2024 tonjol aspek inovasi dalam industri lebuh raya

Foto hiasan

KAJANG, 5 Oktober- Persidangan Konsesi Lebuh Raya (Highway Concession Conference) (HCC 2024) pada pertengahan September lalu telah menyumbang secara signifikan kepada kemajuan dan inovasi dalam sektor lebuh raya dan pengangkutan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) menerusi kenyataan berkata Pengerusi LLM, Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad berharap agar input daripada persidangan itu dapat diterapkan dalam usaha memperbaharui hala tuju pembangunan industri lebuh raya di Malaysia agar lebih inklusif dan dinamik.

Datuk Seri Utama Ir. Hasni dalam ucapan penutupnya, telah menekankan kepentingan persidangan itu bagi menambah baik pembangunan dan pengurusan lebuh raya bertol di Malaysia.

Beliau turut merumuskan perkara-perkara penting yang telah dibentangkan oleh para penceramah jemputan, antaranya:

"Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim, menekankan keseimbangan antara kejuruteraan, sosial dan alam sekitar dalam pengurusan lebuh raya bertol. Beliau juga menyentuh tentang Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 yang mensasarkan pengurangan kemalangan jalan raya.

"Pengenalan sistem pintar seperti Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) dan program MyJalan adalah antara inisiatif Kerajaan yang bertujuan bagi meningkatkan perkhidmatan penyelenggaraan.

"Syarikat konsesi perlu memberi perhatian terhadap pelaksanaan star rating yang ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia sebagai salah satu inisiatif bagi memastikan penyenggaraan lebuh raya berada dalam keadaan baik dan selamat.

"Datuk Seri Idris Jala dan Encik Leon Jala membentangkan prinsip dan strategi utama untuk Kepimpinan Transformasi (TL) dengan menekankan interaksi “being” dan “doing” dalam mencapai tranformasi, termasuk enam rahsia kepimpinan transformasi yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai konteks.

"Manakala, Ir. Mohd. Shahrir Amin Bin Ahmad (Lembaga Lebuhraya Malaysia) telah membincangkan cabaran infrastruktur lebuh raya yang semakin berusia dan cadangan penambahbaikan, termasuk peningkatan keselamatan dan integrasi teknologi.

"Penekanan juga diberikan kepada keperluan untuk melaksanakan analisa ‘life cycle cost’, mengadopsi amalan dan teknologi terbaik, serta memupuk pemikiran inovatif dan kreatif untuk memastikan kelestarian dan kecekapan lebuh raya Malaysia di masa depan", menurut kenyataan LLM.

Datuk Seri Utama Ir. Hasni mengakhiri ucapannya dengan harapan agar HCC dapat diadakan pada skala yang lebih besar pada masa akan datang sebagai platform utama perkongsian idea dan pengalaman dalam memajukan sektor pembinaan lebuh raya di Malaysia.

HCC 2024 berlangsung selama dua hari telah menampilkan 15 pembentang ternama yang terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang industri di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Antara pembentang-pembentang ternama yang turut berkongsi aspirasi, pengalaman serta idea dalam HCC 2024 adalah termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia Datuk Seri Azman Ibrahim, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Pakar Polisi dan Transformasi Datuk Seri Idris Jala, Naeem Hussain (Global Bridge Expert), Yosuke Tanaka (Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan, Jepun).

Majlis Penutup Persidangan HCC 2024 telah disempurnakan oleh Pengerusi LLM, Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad.

Persidangan yang berlangsung di Hotel Renaissance Johor Bahru itu juga telah berjaya menarik minat lebih 300 orang peserta untuk bersama-sama mendalami pelbagai aspek pembangunan dan pengurusan lebuh raya, berinteraksi serta mengukuhkan jaringan kerjasama antara satu sama lain.

ROSLINA BINTI DIN