fb fb fb fb fb

Persidangan Belia RDC, Ahad ini tampil tokoh belia Islam terkemuka

Poster Persidangan Belia RDC 2024

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Regional Development Community Berhad (RDC) dan rakan-rakan strategiknya akan menganjurkan Persidangan Belia RDC pada 3 dan 4 November ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

Persidangan tersebut bertujuan menjadi platform terbaik kepada semua pemimpin belia dan aktivis pembangunan komuniti seluruh Asia Pasifik dalam pelbagai sektor-sektor berkaitan untuk bertukar pandangan dan saling memperkayakan pelan strategi dalam usaha pemerkasaan komuniti lestari.

Pengerusi penganjur, Khairul Anuar Kamaruddin berkata, persidangan belia selama dua hari itu bakal dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Tahun ini, persidangan akan menampilkan tokoh belia dan aktivis politik dari negara-negara Islam termasuklah Dr Ashraf Awad (Palestin), Dr Gamal Albinsaid (Indonesia), Dr Mostafa Faisal Parvez (Bangladesh), Anfaal Saari (Malaysia), Azlan Shah Nabees Khan (Malaysia) dan Ammar Roslizar (Malaysia).

Katanya, pembangunan belia masa depan merupakan keutamaan bagi semua negara dan gerakan Islam bagi menangani cabaran mutakhir yang semakin sulit dan sukar.

Dapatan statistik pada tahun 2024 oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa menunjukkan julat data 7%hingga 56% kadar pengangguran yang tinggi dan akses kepada pendidikan yang rendah di kebanyakan negara Asia Pasifik. Malang sekali, data tersebut memberi kesan kepada negara-negara umat Islam di Asia Pasifik.

“Angka tersebut amat meresahkan kita semua dan memerlukan intervensi segera bagi menanganinya sekiranya kita ingin melihat generasi masa depan dan komuniti di rantau ini dapat menikmati kehidupan berkualiti serta kemakmuran bersama,” jelasnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE