fb fb fb fb fb

Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama tekankan tangungjawab, peranan pemimpin

Fahmi Fadzil

PETALING JAYA, 7 Mei- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 yang berlangsung hari ini sebagai satu acara terbaik untuk ketua-ketua agama memainkan peranan serta tanggungjawab terhadap masyarakat.

Menurut beliau, perkara itu antara yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap merasmikan persidangan yang menghimpunkan tokoh agama dan intelektual dari seluruh dunia itu.

"Mesej utama yang disampaikan oleh Perdana Menteri dalam ucapan perasmian berkait keperluan untuk ketua-ketua agama tampil dan membantu untuk meredakan keadaan. Kalau di sesetengah negara kelihatan seperti faham ekstremisme keterlaluan sehingga timbul ketegangan atau kerosakan dalam masyarakat di negara tersebut.

"Perdana Menteri tidak merujuk kepada mana mana negara secara khusus tetapi secara umum harapannya ialah perbincangan yang dapat dijana akan menghasilkan satu resolusi yang akan diumum nanti," katanya selepas Majlis Perasmian Persidangan Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 di sini.

Persidangan hari ini akan disusuli dengan Persidangan Majlis Ulama Asia yang berlangsung esok.

Kedua-dua persidangan itu dianjurkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Liga Dunia Muslim (MWL).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI