fb fb fb fb fb

Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama jadi acara tetap di Malaysia

Datuk Seri Anwar Ibrahim

PETALING JAYA, 7 Mei- Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 yang berlangsung hari ini akan menjadi acara tetap di Malaysia kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkan edisi pertama persidangan itu merupakan platform berkesan menghimpunkan tokoh agama dan intelektual dari seluruh dunia.

"Saya respons dengan penuh hormat dan kasih sayang apa yang dicadangkan oleh Aminul Am bahawa insya-Allah, Sidang Kemuncak Kuala Lumpur akan menjadi acara tetap di Malaysia.

"Dalam persidangan ini, kita dapat perhatikan perkara yang perlu dilakukan dan ditambah baik dalam kalangan orang Islam, Kristian, Buddha atau Hindu," katanya.

Perdana Menteri menekankan peranan pemimpin agama, menggesa mereka untuk mengambil pendirian yang lebih aktif, berkesan dan berani dalam menggalakkan keadilan.

Dalam pada itu Malaysia perlu memainkan peranan dalam mempromosi pemahaman tentang Islam serta menyampaikan mesej keamanan selain berusaha meningkatkan kefahaman tentang Islam.

Seterusnya, berupaya menyampaikan mesej kasih-sayang dan keadilan kepada masyarakat.

"Saya ingin mendengar nasihat, kritikan, cadangan anda untuk mempertingkatkan kefahaman kami tentang Islam dan mengamalkan apa yang digariskan dalam al-Quran dan sunah Rasulullah. Kami juga ingin menyampaikan mesej kasih sayang, semangat keadilan kepada semua rakyat kita.

"Adalah penting dalam negara ini, untuk menggalakkan pemahaman Islam, untuk mempromosikan mesej keamanan untuk mempromosi rahmatan lil alamin," katanya ketika berucap dalam Persidangan Antarabangsa Tokoh Agama Dunia 2024 di sini.

Beliau menjelaskan tindakan itu selaras dengan seruan al-Quran dan sunah iaitu menyampaikan mesej kebaikan dan nilai-nilai murni.

Menerusi ucapan dalam persidangan sama, Perdana Menteri juga mahu pemimpin agama untuk memastikan tadbir urus berpandukan nilai moral dan etika yang kukuh.

"Terdapat ramai dalam kalangan kita hidup dalam kemiskinan tegar, kehilangan teknologi baharu, transformasi digital dan kecerdasan buatan. Ia penting dalam kehidupan kita, pendidikan dan kemudahan kesihatan awam yang berkualiti. Oleh itu, kita perlu memastikan tadbir urus berpandukan nilai etika yang kukuh," katanya.

Beliau juga berharap persidangan itu akan membincangkan isu-isu penting untuk memastikan kesejahteraan masyarakat serta menghormati hak meskipun berbilang agama.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI