SERDANG, 23 Julai - Persiapan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) kini telah mencapai tahap 90 peratus.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata persiapan akhir kini berjalan lancar hasil kerjasama pelbagai agensi MAFI serta agensi kerajaan yang lain.
" Persiapan akhir sedang giat dilakukan. Kita yakin sebelum MAHA 2022 bermula pada 4 Ogos, segala persiapan akan siap. Saya dapati perancangan bagi persiapan dan aktiviti promosi MAHA 2022 teratur,” katanya ketika ditemui selepas program Road to MAHA 2022, di sini.
MAHA 2022 akan diadakan secara hibrid pada 4 hingga 14 Ogos di MAEPS, dengan bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’.
Seramai 1.1 juta pengunjung disasar akan hadir secara fizikal sepanjang 11 hari program itu serta menjana lebih RM250 juta potensi nilai jualan.
Tambah Ronald, MAHA 2022 menyasarkan penyertaan syarikat swasta, agensi kerajaan, institusi kewangan, usahawan tani dan golongan belia untuk terlibat sebagai pempamer bagi memenuhi 1,500 ruang pameran dan jualan yang disediakan.
Katanya, MAHA 2022 juga akan menjadi platform pengenalan pelbagai produk baharu berkaitan pertanian termasuk teknologi dan inovasi terkini serta strategi pemasaran dan pengeluaran secara efektif.
Pameran dwitahunan itu kali terakhir diadakan pada 2018 sebelum tergendala akibat pandemik Covid-19 dalam negara.